Total Pageviews

Monday, February 20, 2012

Api mengalir di air terjun

IMEJ dekat air terjun kelihatan seperti api sedang mengalir di Taman Perkhidmatan Negara Yosemite.

YOSEMITE, Amerika Syarikat (AS) - Sekumpulan jurugambar akan berkunjung ke Taman Perkhidmatan Negara Yosemite di sini pada setiap pertengahan Februari.

Mereka akan merakamkan fenomena alam semula jadi yang akan menunjukkan seolah-olah api mengalir dari Glasier Point.

Fenomena itu terjadi apabila Bumi dan matahari berada dalan keadaan sejajar pada waktu matahari terbenam.

Pada waktu tersebut, cahaya matahari akan menyinari salah satu air terjun di taman ini.
Air terjun itu kemudian akan kelihatan seperti lahar yang mengalir. - AP

Terperangkap dalam kereta selama dua bulan

SEORANG lelaki yang ditemui kelmarin terperangkap di dalam kereta ini yang dipenuhi dengan salji tebal di sebatang jalan di sebuah hutan tidak jauh dari bandar Umea, Sweden.

STOCKHOLM, Sweden – Seorang lelaki Sweden hidup dalam sebuah kereta yang ditimbus salji di sebatang jalan di dalam hutan selama dua bulan tanpa makan, kata polis dan media kelmarin.

Lelaki berusia 45 tahun dari selatan Sweden itu ditemui pada Jumaat lalu dan dia kelihatan sangat kurus dan terlalu lemah untuk bercakap beberapa patah perkataan.
Dia ditemui dalam kereta tidak jauh dari bandar Umea di utara Sweden.

Lelaki itu ditemui oleh beberapa orang yang menaiki skuter salji yang pada mulanya mereka menganggap mereka menemui sebuah bangkai kereta.

Namun, mereka menggali salji ke tingkap kereta tersebut dan melihat terdapat pergerakan di dalam kenderaan itu.

Lelaki itu duduk di tempat duduk belakang di dalam beg tidur dan dia menyatakan telah berada di dalam kereta tersebut sejak 19 Disember tahun lalu.

Seorang pegawai polis, Ebbe Nyberg berkata, pihaknya tidak meragui bahawa lelaki tersebut telah terperangkap di dalam kereta bagi tempoh yang lama.
Hospital Universiti Umea iaitu lokasi lelaki tersebut dirawat selepas diselamatkan oleh polis dan pasukan penyelamat berkata dalam satu kenyataan bahawa dia kini beransur baik.

Doktor-doktor di hospital itu berkata, manusia pada kebiasaannya mampu hidup selama kira-kira empat minggu tanpa makanan.
Menurut Dr. Stefan Branth kepada akhbar Vasterbottens-Kuriren, selain makan salji, lelaki itu mungkin hidup disebabkan dia tidak aktif.

“Seperti seekor beruang yang hibernasi. Manusia bolah melakukannya,” katanya.
Hibernasi merujuk kepada haiwan yang menghabiskan musim sejuk dalam keadaan tidur nyenyak.

“Dia (lelaki itu) mungkin mempunyai suhu badan kira-kira 31 darjah Celsius yang disesuaikanmengikut tubuh badannya.
“Disebabkan suhu yang kecil, tiada banyak tenaga yang digunakan,” kata Dr. Branth.
Polis berkata, kenapa lelaki tersebut berada di dalam kereta di hutan tersebut masih belum diketahui.
– Reuters

Thursday, February 16, 2012

Dua buaya gergasi ditangkap di Filipina

GAMBAR menunjukkan seekor buaya jantan gergasi dan seekor buaya betina dilihat oleh para pekerja sebuah ladang di bandar Palawan, Filipina kelmarin.
BANDAR PALAWAN, Filipina - Beberapa pekerja memindahkan dua ekor buaya gergasi di bandar ini kelmarin yang ditangkap pada Selasa lalu di bandar Rio Tuba Bataraza ekoran terdapat laporan bahawa haiwan itu melakukan serangan ke atas manusia.

Menurut agensi berita Reuters, haiwan itu dipindahkan ke sebuah ladang buaya di sini.
Beberapa pegawai tempatan di ladang haiwan itu berkata, buaya jantan yang ditangkap itu sepanjang 4.87 meter dan akan diberi nama Valentino.

Buaya betina yang ditangkap itu pula sepanjang 3.35 meter.
Nama itu diberikan kerana haiwan tersebut ditangkap pada Hari Kekasih.

Pada September tahun lalu, penduduk kampung di wilayah Agusan del Sur, Filipina berjaya menangkap seekor buaya gergasi sepanjang 6.4 meter yang dianggap terbesar yang pernah ditangkap hidup-hidup di dunia. - Agensi

Bekas penjual mesin taip beli 230 pesawat Boeing

SEBUAH pesawat Boeing 747-400 milik Lion Air berada di sebuah landasan di Lapangan terbang Sukarno-Hatta di Tangerang semalam. Gambar kecil Rusdi Kirana.
SINGAPURA - Seorang bekas penjual mesin taip, Rusdi Kirana mencipta kejutan apabila beliau membeli lebih 230 pesawat Boeing dalam satu urus niaga yang dimuktamadkan pada minggu ini.

Beliau yang kini bergelar Ketua Eksekutif Lion Air mengasaskan syarikat penerbangan domestik dan tambang murah terbesar di Indonesia bersama abangnya, Kusnan lebih sedekad lalu.

Selain potongan rambut pendek, misai penuh dan senyuman keanak-anakan, tidak banyak yang diketahui tentang usahawan berusia 49 tahun dari Indonesia itu.

Namun, nama Rusdi menjadi sebutan media pada Pameran Udara Singapura kelmarin.
Pada pameran itu, beliau memuktamadkan pembelian 230 buah pesawat Boeing pada harga keseluruhan AS$22 bilion (RM66.8 bilion).

"Orang ramai perlu faham bahawa mereka tidak patut memandang rendah terhadap seseorang dari negara Dunia Ketiga. Hanya kerana kami usahawan Dunia Ketiga, ia tidak bermakna kami tidak mampu membuat pembelian besar seperti ini," kata Rusdi.

Urus niaga tersebut turut melibatkan sebuah model baharu Boeing yang dijadualkan memulakan perkhidmatan pada 2017.

Menurutnya, pembiayaan bagi pembelian tersebut disokong oleh agensi kredit eksport Amerika Syarikat, bank ExIm.

Selain pembelian mega tersebut, Rusdi juga merupakan antara segelintir usahawan Dunia Ketiga yang berpeluang menemui Presiden AS, Barack Obama. - Agensi

Dilema nenek si gadis sunti 15 tahun

PUAN menunjukkan MyKad yang menyatakan dia dilahirkan pada tahun 1996 atau berusia 15 tahun sedangkan cucunya, Siti Noor Atikah Mat Yusop pula berusia 21 tahun di rumah mereka di Sanglang, Perlis semalam.
KANGAR – Seorang warga tua dari Kampung Padang Keria, Simpang Empat di sini yang memiliki 47 orang cicit kini tidak sanggup lagi menghadapi dilema usia beliau hanya 15 tahun 10 bulan berdasarkan catatan dalam MyKad.

Puan Ahmad yang mendakwa usianya kini melebihi 90 tahun berkata, masalah itu berlaku selepas MyKad yang diperolehnya pada tahun 1996 tertera dengan nombor 960412-02-0558*.

Dia juga bingung melihatkan wujud tanda * pada penghujung nombor MyKad itu.
Puan kini kecewa kerana mendakwa masalah itu menyebabkan dia terlepas peluang mendapat banyak kemudahan khusus untuk golongan warga emas selain gagal memohon wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Saya sudah rujuk masalah nombor MyKad ini kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perlis pada tahun lalu tapi mereka minta saya terus guna kad yang sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Puan yang kini mempunyai empat orang anak, 19 cucu dan 47 cicit, dilahirkan di Tasik Melati, Padang Besar pada tahun 1920-an.

Katanya, masalah itu berlaku selepas dia memohon kad pengenalan baharu di JPN Kuala Nerang, Kedah, beberapa tahun lalu.



Lebih cerah kulit lebih mahal

SEMAKIN comel seseorang bayi, semakin tinggi harga yang akan diletakkan sindiket jual bayi kepada pelanggannya. - Sekadar gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Harga serta permintaan yang tinggi bagi bayi dikatakan merupakan antara punca kegiatan menjual bayi masih berleluasa.

"Polis percaya sindiket penjualan bayi yang sudah lama wujud ini semakin berleluasa kerana terdapat permintaan yang sangat tinggi terutamanya bagi pasangan yang tidak mempunyai zuriat," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan kepada Bernama.

Beliau turut berkata, seorang bayi boleh mencapai harga melebihi RM20,000 berdasarkan kesempurnaan dan kecerahan warna kulit.

"Harga menjadi lebih tinggi sekiranya disertakan dengan dokumen pengenalan diri seperti Sijil Kelahiran semasa pembelian," katanya.

Abdul Jalil menjelaskan, kebanyakan bayi dijual pada lingkungan umur satu hingga tiga bulan namun ada juga kanak-kanak berusia sehingga enam tahun turut dijual.

"Kegiatan terancang ini bermula dengan penjagaan rapi yang diberikan kepada ibu-ibu yang mengandung di pusat penjagaan haram, bagi menghasilkan bayi yang sihat demi mendapatkan nilai jualan yang tinggi.

Tuesday, February 14, 2012

Biri-biri, rusa kahwin di zoo China

 Chunzi(rusa)  dan Changmao(biri-biri).
BEIJING: Sebuah zoo China akan mengadakan perkahwinan Hari Valentine untuk seekor biri-biri jantan dengan rusa betina, lapor agensi berita kerajaan Xinhua, semalam.

Pengunjung membanjiri taman hidupan liar di wilayah barat daya di Yunnan untuk menyaksikan biri-biri yang mempunyai nama Cina, Changmao bermaksud rambut panjang dan rusa itu, Chunzi (suci), selepas penjaga zoo mendedahkan di Internet, kedua-dua haiwan itu mula mengawan.

Taman hidupan liar itu akan mengeluarkan 500 tiket khas pada harga 66 yuan (RM33) sekeping untuk acara itu, lapor media kerajaan China News Service. Bagaimanapun, pakar memberi amaran mengenakan kualiti manusia pada haiwan. - AFP

Dedah payudara semasa cuaca sejuk melampau di Moscow

BEBERAPA kakitangan lelaki syarikat Gazprom mengusung seorang wanita daripada kumpulan FEMEN yang mendedhakan payudaranya di depan ibu pejabat syarikat itu di Moscow semalam.

MOSCOW, Rusia - Tiga aktivis pergerakan hak wanita, FEMEN dari Ukraine sanggup mendedahkan payudara mereka semasa melakukan tunjuk perasaan dalam suasana sejuk melampau di depan ibu pejabat syarikat gergasi gas semula jadi Gazprom di sini semalam.

Mereka yang hanya memakai seluar panjang mendedahkan payudara sambil memegang poster yang mengandungi mesej mengutuk tindakan syarikat Gazprom.

Ketiga-tiga wanita itu mendedahkan payudara semasa suhu mencecah -22 darjah Celsius.
Salah satu poster itu mengandungi mesej yang menyamakan Ketua Pegawai Eksekutif Gazprom, Alexei Miller dengan ketua polis rahsia pada zaman pemerintahan pemimpin Adolf Hitler di Jerman, Heinrich Mueller.

Tunjuk perasaan itu dibuat kerana Ukraine dan Rusia gagal mencapai penyelesaian berhubung harga gas sejak beberapa bulan lalu.

Namun, ketiga-tiga wanita itu diusir keluar dari ibu pejabat tersebut oleh kakitangan lelaki syarikat Gazprom.
- Agensi

Askar AS gigit daging mentah ular tedung

SEORANG askar marin Amerika Syarikat menggigit daging mentah seekor ular tedung manakala
 kepalanya dililit dengan kulit haiwan itu.
SATTAHIP, Thailand - Seorang askar Amerika Syarikat (AS) merasai daging mentah seekor ular tedung di sebuah pangkalan tentera laut di sini semalam.

Askar itu menggigit daging mentah ular tersebut manakala kulit haiwan tersebut dililitkan pada kepalanya.

Kira-kira 13,000 anggota tentera daripada tujuh buah negara menyertai latihan ikhtiar hidup itu.

Anggota-anggota tentera Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Thailand, AS, Singapura dan Jepun menyertai latihan tersebut.

Dalam latihan itu, askar-askar minum darah ular dan menggunakan tangan untuk memisahkan kepala ayam jantan daripada badan. Mereka turut memakan serangga. - Agensi

Sunday, February 12, 2012

Pengebom Bali dedah cara buat bom 700 kg

GAMBAR fail 29 November 2011 menunjukkan suspek pengganas, Umar Patek diiring dua anggota polis Indonesia di sebuah mahkamah di Jakarta.
JAKARTA, Indonesia - Seorang militan Indonesia yang didakwa berhubung serangan pengganas di Bali pada 2002 memberitahu penyiasat, dia memencilkan diri selama beberapa minggu di sebuah rumah sewa untuk membina bom seberat setengah tan dengan menggunakan barangan dalam rumah termasuk senduk nasi, alat timbang dan sejumlah beg plastik.

Satu transkrip soal siasat Umar Patek yang diperoleh agensi berita The Associated Press (AP) menceritakan secara terperinci tentang komplot pengeboman di Bali beberapa hari sebelum Patek, yang pernah menjadi suspek pembuat bom paling dikehendaki di Asia Tenggara, dibicarakan di sini kerana peranannya dalam serangan ke atas sebuah kelab malam yang membunuh 202 orang pada 2002.

"Di sebuah bilik rumah sewa berkenaan, saya mula mencampurkan bahan-bahan yang telah disediakan," kata Patek.

"Selama tiga minggu, saya menjadikan campuran tersebut kepada serbuk hitam dengan bantuan Sawad (konconya). Saya menggunakan alat timbang yang biasa digunakan di kedai runcit, senduk nasi dan sejumlah beg plastik bekas untuk mengisi bahan letupan," tambahnya.

Patek yang dikenali sebagai lelaki peledak kerana kepakarannya menggunakan bahan letupan berkata, dia dan beberapa konco lain mengisi bom seberat 700 kilogram itu ke dalam empat kabinet dan meletakkannya di dalam sebuah van Mitsubishi L300 bersama sebuah bom rompi TNT.

Van berkenaan diletupkan di luar dua kelab malam popular di Pantai Kuta, Bali pada 12 Oktober, 2002.

Kebanyakan mangsa yang maut dalam serangan tersebut adalah pelancong asing.
Patek, 45, akan dibicara esok selepas sembilan tahun menjadi buruan pihak berkuasa. Dia melarikan diri ke Filipina sebelum ditangkap di bandar Abbotabbad, Pakistan pada Januari 2011. Pasukan komando Amerika Syarikat (AS), Navy Seals menembak mati ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama Bin Laden di bandar sama beberapa bulan kemudian. - Agensi

Tupai ungu cetus sensasi

SEEKOR tupai berwarna ungu yang diperangkap Percy Emert dan isterinya Connie di taman milik mereka di negeri Pennsylvania.

WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seekor tupai ungu yang dijerat sepasang suami isteri di AS mencetuskan sensasi di internet berhubung persoalan bagaimana haiwan tersebut mendapat warna pelik itu.

"Kami pun tidak tahu. Namun, ia benar-benar berwarna ungu. Ada orang mendakwa kami mencelup warna tersebut tetapi secara jujur, kami menemui tupai ini dan ia ungu," kata Percy Emert yang menemui mamalia berkenaan bersama isterinya, Connie.

Kata mereka, tupai itu memasuki perangkap pada Ahad lalu. Menurut laman web accuweather.com, pasangan berkenaan memasang perangkap di taman milik mereka di negeri Pennsylvania bagi melindungi burung peliharaan daripada haiwan pemangsa.

Mengulas tentang fenomena tersebut, seorang ahli meteorologi AS, Dan Kottlowski berkata: "Tupai jantan itu mungkin telah terjatuh ke dalam cat ungu."
Namun, pendapat tersebut disangkal oleh seorang komentator lain yang memberikan penjelasan lebih saintifik.

"Warna ungu itu merupakan sebatian bromida yang dilihat pada spesies moluska dan jarang didapati pada haiwan darat.

"Tupai tersebut memiliki terlalu banyak bromida dalam sistem badan, berkemungkinan besar kerana ia meminum air daripada sumber air dicemari bromida. Ini bermakna alam sekitar kita sudah tercemar dan ramai orang akan mendapat barah pundi kencing kelak," katanya.
- AFP

Lelaki Uzbek cuba bunuh Obama

Ulugbek Kodirov
WASHINGTON, Amerika Syarikat (AS) - Seorang lelaki Uzbekistan yang tinggal di AS mengaku salah di mahkamah persekutuan negeri Alabama kelmarin kerana cuba membunuh Presiden Barack Obama.

Jabatan Kehakiman AS dalam satu kenyataan memberitahu, Ulugbek Kodirov (gambar), ditangkap dalam satu operasi rahsia semasa dia cuba mendapatkan bahan letupan dan senjata.

Pendakwaraya AS yang mengendalikan kes berkenaan, Joyce White Vance mengucapkan terima kasih kepada komuniti Islam di Birmingham, AS, kerana membantu pihak berkuasa mematahkan ancaman Kodirov.


Kodirov, 22, mengaku salah berhubung tuduhan memberikan bantuan material bagi aktiviti pengganas, mengancam membunuh Presiden AS dan memiliki senjata api oleh pendatang asing.

Dia mengaku pernah berhubung dengan "seorang individu yang dia percaya ialah anggota Pergerakan Islam Uzbekistan (IMU)," dan diarah oleh individu terbabit untuk membunuh Presiden Obama.

Jabatan Negara AS menganggap IMU sebagai pertubuhan pengganas.
Kodirov juga mengaku berbincang tentang komplot tersebut dengan seorang individu lain.

Individu kedua tersebut yang identitinya tidak didedahkan Jabatan Kehakiman, memperkenalkan Kodirov kepada seorang ejen perisik AS yang menyamar, bagi membeli senjata api.

Mereka bertemu di sebuah motel di Leeds, negeri Alabama pada Julai 2011. Kodirov membeli sepucuk mesingan M15-A1 dan empat bom tangan sebelum ditangkap.

Dia memasuki AS dari Uzbekistan dengan menggunakan visa pelajar pada Jun 2009. Pasportnya dibatalkan pada 2010 selepas dia gagal mendaftar di sebuah pusat pengajian tinggi AS. Pemuda itu tinggal secara haram di sebuah motel di Alabama semasa ditangkap.

Kodirov boleh dipenjara sehingga 30 tahun jika didapati bersalah atas semua tuduhan. - AFP 


Whitney Houston ditemui meninggal dunia

Whitney Houston
LOS ANGELES – Penyanyi pop legenda dan pelakon, Whitney Houston, 48, yang pernah menguasai dunia muzik Amerika Syarikat dalam tahun-tahun 1980-an dan 1990-an, ditemui mati di hotel di Berverly Hills, kata polis.

“Pada pukul 3:55 petang (semalam), Whitney Houston diisytihar meninggal dunia di sebuah hotel di Beverly Hills,” kata jurucakap polis, Mark Rosen.

Beliau berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada seseorang di dalam rombongan beliau dan menemui Houston di atas lantai di bilik hotelnya di tingkat empat ketika usaha telah dibuat untuk memulihkan beliau.

“Tiada tanda jelas berlaku sebarang kejadian jenayah pada masa ini dan kes ini sedang disiasat oleh polis Beverly Hills,” kata jurucakap tersebut.
Punca kematian belum dapat diketahui pada masa ini. – AFP

Saturday, February 11, 2012

Katil Schwarzenegger bersebelahan Stallone

ARNOLD SCHWARZENEGGER (kiri) dan Sylvester Stallone saling memandang antara satu sama lain semasa mereka dirawat di sebuah hospital di Los Angeles pada Selasa lalu.
LOS ANGELES - Pelakon filem Terminator, Arnold Schwarzenegger baring di atas katil di sebelah pelakon sasa, Sylvester Stallone di sebuah hospital di sini pada Selasa lalu.
Kedua-dua pelakon itu menerima rawatan akibat kecederaan kerana melakonkan aksi lagak ngeri dalam filem lakonan mereka.

Schwarzenegger, 64, menerima rawatan di bahunya sama seperti Stallone yang berusia 65 tahun.

Gambar yang menunjukkan kedua-dua pelakon berbaring disiarkan di laman blog Schwarzenegger.

Menurut Schwarzenegger, mereka mendapatkan rawatan selepas kedua-duanya berlakon dalam filemThe Expendables 2 dan The Last Stand.

Kedua-dua-dua pelakon itu memang terkenal dengan aksi lagak ngeri dalam filem-filem tahun 1980-an. - Agensi

Penyanyi batal konsert di Israel

Chan Marshall

NEW YORK - Penyanyi Chan Marshall yang juga dikenali sebagai Cat Power membatalkan konsertnya di Israel dengan menyertai beberapa artis lain.

Pembatalan itu dilakukan disebabkan konflik Israel dengan Palestin.
Penyanyi itu sebelum ini dijadualkan mengadakan konsert di Tel Aviv esok.

Namun, dia menghantar mesej semalam di Twitter dengan menyatakan tidak dapat membuat persembahan untuk para peminat Israel. Menurutnya, dia berasa semangatnya terjejas.

Namun, penyanyi terkenal, Madonna akan membuat persembahannya di Israel pada Mei depan.

Sementara itu, Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menyatakan pemerintahan sementara Palestin akan menjejaskan proses damai.

Dia membuat kenyataan itu kelmarin kepada wakil-wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di sebuah hotel di sini.

Menurutnya, satu perjanjian yang ditandatangani antara pergerakan Hamas dengan Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas sebelum ini tidak akan menyumbang kepada rundingan damai dengan Israel. - Agensi

Friday, February 10, 2012

Anjing baham muka pengacara televisyen

Kyle Dyer
DENVER: Seorang pengacara utama sebuah stesen televisyen dikejarkan ke hospital selepas mukanya dibaham seekor anjing yang baru diselamatkan ketika program itu disiarkan secara langsung.

Media semalam melaporkan, haiwan seberat 39 kilogram itu, Max, membaham muka Kyle Dyer ketika pengacara itu membongkokkan badannya untuk menepuk anjing Argentine Mastiff berkenaan.

Program bual bicara pagi itu disiarkan stesen KUSA-TV. Pada Isnin lalu, kru stesen berkenaan merakamkan sejumlah anggota bomba menyelamatkan Max yang terkapai-kapai di tasik dalam cuaca sejuk selepas tergelincir.

Ekoran insiden semalam, Max diletakkan dalam sangkar dan diawasi pegawai kawalan haiwan, manakala pemiliknya, Michael Robinson, didenda.

KUSA-TV berkata, Kyle kini stabil dan semakin pulih di sebuah hospital di Denver.

“Pasukan trauma sedang menilai kesan kecederaan di mula Kyle,” kata jurucakap stesen televisyen berkenaan.


Sementara itu, Robinson berkata, dia bersiar-siar dengan Max pada Isnin apabila anjing itu ternampak seekor serigala dan mengejarnya.

Menurut pihak berkuasa, Max terperangkap dalam tasik itu selama 20 minit sebelum anggota bomba tiba dan menariknya keluar.

Ekoran insiden itu, KUSA-TV menjemput Robinson, Max serta anggota bomba yang menyelamatkan anjing berkenaan untuk ditemubual KUSA-TV berkata, insiden serangan Max itu dipotong daripada siaran, tetapi sebahagian daripada klip berkenaan kemudian didedahkan untuk tatapan umum.

Sementara itu, Pengarah Kawalan Haiwan Denver, Doug Kelley, berkata kecederaan dialami Kyle agak serius. - DM






Gadis serigala

ANITA (tiga dari kanan) bersama anaknya di rumah mereka di Sangli, Maharashtra.
MUMBAI: Tiga wanita adik-beradik bimbang ‘Sindrom Serigala Jadian’ yang dialami bakal menyebabkan mereka sukar mencari suami.

Berdepan masalah penumbuhan bulu tidak terkawal, Savita, 23; Monisha, 18; dan Savitri, 16, mungkin menjadi anak dara tua gara-gara Hypertrichosis Universalis.

TIGA gadis malang (dari kiri) Monisha, Savitri dan Savita berharap mereka
 masih ada harapan untuk hidup bahagia.

Mengikut nisbah, penyakit itu hanya dialami seorang daripada satu bilion penduduk dunia.
Menurut Savita, dalam keadaan begitu, perkahwinan adalah mustahil untuk mereka.

“Siapa yang mahu menjadi suami kepada seseorang yang mukanya dipenuhi bulu?” katanya
Di kawasan perkampungan kecil di Sangli, wanita bujang tidak mempunyai banyak pilihan.

Ikan yu gergasi jadi bahan pameran

DUA kren digunakan untuk mengangkat seekor ikan yu gergasi di Karachi pada Selasa lalu.
KARACHI - Seekor ikan yu gergasi yang ditangkap pada Selasa lalu oleh sekumpulan nelayan 128.74 kilometer di luar pantai Pakistan dibeli pada harga AS$2,200 (RM6,614) oleh seorang penjual ikan dikenali sebagai Qasim untuk dipamerkan kepada orang ramai selama tiga hari.

"Saya telah membeli ikan itu yang pada kebiasaannya tidak mempunyai kepentingan nilai komersial, dengan bantuan rakan-rakan saya hanya untuk menghargai usaha-usaha para nelayan yang sepatutnya mendapat sedikit ganjaran selepas menghabiskan masa satu hari di laut terbuka," kata Qasim seperti dilaporkan akhbar Pakistan Dawn.

Menurut akhbar The Express Tribune semalam, orang dewasa yang ingin melihat ikan yang dianggarkan seberat 7,013 kilogram dan sepanjang 12.19 meter itu dikenakan bayaran manakala kanak-kanak dibenarkan melihatnya dengan percuma.

Ketika ditanya kenapa ikan tersebut masih berdarah, Qasim berkata, ia menunjukkan haiwan tersebut masih berada dalam keadaan segar.

Pemilik sebuah kapal nelayan, Muhammad Yousuf menyatakan kepada akhbar The Express Tribune bahawa para pekerjanya menemui ikan tersebut yang telah mati di laut sebelum ia dibawa ke pelabuhan di sini.

Ribuan orang telah menyaksikan ikan itu selepas dua buah kren digunakan untuk mengangkatnya di pelabuhan pada Selasa lalu. - Agensi

Cahaya aurora hijau di Kanada

IMEJ yang dirakamkan angkasawan yang menunjukkan cahaya aurora pada 25 Januari lalu.
FLORIDA - Satu cahaya hijau yang dikenali sebagai Aurora Borealis dirakamkan oleh angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa pada 25 Januari lalu.

Imej itu dirakamkan dekat sempadan British Columbia dan negeri Washington berhampiran Pulau Vancouver di selatan Alberta berhampiran Calgary.
Cahaya itu terjadi akibat perlanggaran partikel yang telah dicaj. - Agensi

Thursday, February 9, 2012

Tikus jadi haiwan peliharaan

Seekor tikus yang dipelihara oleh Kimberly Jackson di rumahnya di Falmouth, Maine.
WALTHAM, Amerika Syarikat (AS) - Tikus kini dijadikan haiwan peliharaan di AS dengan para pemilik haiwan itu menganggap ia bijak dan suka bermain.

Seorang pemilik haiwan itu, Robin Ruslau dari Dresden, negeri Maine, AS pada mulanya menyayangi tikus selepas seorang anak perempuannya meminta dia menjaga seekor haiwan tersebut.

Anak perempuannya itu membuat permintaan itu kerana tuan haiwan tersebut pergi bercuti.

"Saya seolah-olah tidak mempercayai betapa luar biasa haiwan itu. Selepas berakhirnya dua minggu (menjaga tikus itu), saya tidak mahu melepaskan haiwan itu," kata Ruslau.

Menurut para pemilik haiwan peliharaan itu, tikus suka bermain dan penyayang jauh berbeza daripada reputasi tikus yang dianggap binatang menjijikkan. - Agensi

Bayi paling berat di China sejak tahun 1949

BAYI gergasi seberat 7.04 kilogram
XINXIANG, China - Seorang ibu melahirkan bayi gergasi seberat 7.04 kilogram di Hospital Bersalin Xinxiang di bandar ini pada Sabtu lalu.

Bayi lelaki yang bernama Chun Chun itu dipercayai yang paling besar pernah direkodkan di China sejak negara ini dibentuk pada tahun 1949. - Agensi

Kakitangan KFC tendang pelanggan

pergaduhan antara kakitangan KFC dengan seorang pelanggan yang berlaku
di sebuah restoran makanan segera di Shah Alam baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak sabar menunggu ayam goreng yang dipesan, seorang pelanggan bukan sahaja ditumbuk malah turut ditendang oleh seorang kakitangan KFC dalam satu kes pergaduhan baru-baru ini.

Kejadian tersebut yang didakwa berlaku di salah sebuah cawangan restoran makanan segera tersebut di Shah Alam itu sempat dirakam oleh orang ramai.

Rakaman pergaduhan selama 28 minit itu kemudian dimuat turun ke laman perkongsian video, YouTube yang juga disiarkan di beberapa laman blog.

Difahamkan pergaduhan itu berlaku ekoran pesanan yang dibuat oleh pelanggan tersebut tidak sampai setelah menunggu selama satu jam ekoran KFC cawangan tersebut didakwa telah kehabisan ayam.

Pelanggan tersebut yang marah telah meminta pihak KFC untuk memohon maaf namun tidak diendahkan sebaliknya kakitangan restoran itu telah menjerit ke arah pelanggan: “Kalau mau makan, buat sendiri lah.”

Menerusi video tersebut, pertengkaran yang bermula dengan berbalas cakap itu akhirnya berakhir dengan tindakan seorang kakitangan KFC menumbuk dan menendang pelanggan tersebut sebelum dileraikan oleh rakannya.

Sementara itu, KFC Holdings (Malaysia) Berhad memaklumkan bahawa pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung kes pergaduhan itu yang didakwa berlaku awal Februari lalu.