Total Pageviews

Tuesday, January 31, 2012

Budak berusia 10 tahun wira




bomba memadam api dalam kebakaran di Kampung Nagasiba Kobusak, semalam.
 Gambar kecil, Justin.


PENAMPANG: Seorang budak berusia 10 tahun sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan meredah api yang marak semata-mata mahu menyelamatkan dua adiknya daripada rentung dalam kebakaran di Kampung Nagasiba Kobusak, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari, kanak-kanak berkenaan, Nigel Justin, melecur di tangan selepas meredah masuk menyelamatkan dua adiknya, Agustin, 6, dan Victor, 2, yang ketika itu berada dalam rumah yang terbakar.

Difahamkan, ketika kejadian, bapa kanak-kanak itu, Justin Banot, 48, tiada di rumah kerana menemani seorang lagi anaknya, Jun Jenifer, 9, yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), di sini, manakala anak sulungnya, Ricky, 19, bekerja di pekan Inanam.

Difahamkan, ibu kanak-kanak itu yang tidak dikenali dikatakan sudah tidak lagi tinggal di rumah berkenaan sejak beberapa tahun lalu walaupun dia belum bercerai dengan suaminya.

Akibat kejadian itu, rumah dua tingkat milik Justin musnah dan menyebabkan kerugian lebih RM60,000 termasuk kedai runcit disewa di tingkat bawah rumah turut rentung.

Menurut Nigel, ketika kejadian, dia di rumah menjaga dua adik selepas bapa pergi menziarah seorang lagi anaknya di hospital.
Saya terhidu bau asap yang kuat dan terkejut apabila mendapati dapur rumah terbakar.

“Ketika itu, saya hanya berfikir menyelamatkan adik lalu berlari ke ruang tamu dan menarik tangan Agustin keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian.
Namun, selepas itu, Nigel menyedari seorang lagi adiknya, Victor tiada bersama lalu nekad masuk semula ke dalam rumah walaupun ketika itu api mula merebak.

“Saya terus ke bilik tidur dan terus mengangkat Victor yang ketika itu nyenyak tidur lalu berlari keluar menyelamatkan diri,” katanya.

“Saya tidak sempat menyelamatkan harta benda lain termasuk kelengkapan sekolah kerana hanya terfikir untuk menyelamatkan kedua-dua adik saya,” katanya.

Sementara itu, Justin ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia ke hospital untuk menemani seorang lagi anaknya yang dirawat kerana menghidap penyakit sawan.

“Saya terkejut dan hampir pitam apabila memikirkan keselamatan anak sebaik menerima panggilan memberitahu rumah saya terbakar.

“Walaupun tidak sempat menyelamatkan sebarang harta, saya bersyukur semua anak selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Penampang, Johnny John Jinuli berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.18 tengah hari dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian.

“Seramai 11 anggota bomba dikejarkan ke tempat kejadian dan api dapat dikawal satu jam kemudian.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Iran cipta peluru artileri laser berteknologi tinggi

Pemimpin Iran Ahmadinejad
TAHERAN 31 Jan. - Iran semalam dilapor berjaya menghasilkan peluru artileri yang berpandukan laser yang berkemampuan mengesan dan mengenai sasaran bergerak dengan kadar ketepatan yang tinggi.

Menteri Pertahanan Iran, Ahmad Vahidi berkata, peluru pintar itu merupakan pembaharuan dalam kelengkapan senjata dan ketenteraan negara ini.

"Selain Amerika Syarikat dan Rusia, hanya tiga negara lain yang mempunyai teknologi seperti ini," katanya. - REUTERS

Artis seni rancang hantar batu tahi bintang 4,000 tahun

Sebongkah batu tahi bintang berusia 4,000 tahun yang dipamerkan di Gancedo, 
 wilayah Chaco, Argentina. 
GANCEDO, Aregentina - Seorang artis seni Argentina, Nicolas Goldberg dan Guillermo Faivovich dari Perancis merancang satu projek untuk membawa sebongkah batu tahi bintang gergasi untuk dipamerkan di Kassel, Jerman pada September depan.

Batu tahi bintang itu kini dipamerkan di Gancedo, wilayah Chaco, Argentina.

Kedua-dua artis seni tersebut mahu membawa batu tahi bintang yang seberat 37 tan itu dari tempat ia dipamerkan kini.

Batu tahi bintang itu jatuh kira-kira 4,000 tahun lalu dan dikeluarkan dari lokasi tempat ia jatuh pada 8 Julai 1980 di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Piguen Nonralta. - AFP

Bapa bunuh anak dihukum penjara

Mohammad Shafia (dua dari kanan) Tooba (tengah) dan anak mereka Hamed (dua dari kiri) diiringi ke sebuah mahkamah di Kingston, Ontario
ONTARIO, Kanada - Tiga beranak dari satu keluarga Kanada berketurunan Afghanistan kelmarin didapati bersalah dan dihukum penjara seumur hidup kerana membunuh tiga orang serta seorang wanita yang mempunyai kaitan kekeluargaan.

Juri mahkamah di Kingston, Ontario telah mendapati ketiga-tiga tertuduh iaitu Mohammad Shafia, isterinya, Tooba Mohammad Yahya dan anak sulung mereka, Hamed Mohammad Shafia bersalah atas empat pertuduhan membunuh.

Mangsa-mangsa yang dibunuh adalah tiga adik Hamed dan seorang wanita, iaitu isteri pertama Mohammad Shafia.

"Adalah sukar untuk memutuskan keputusan kes jenayah yang lebih hina, lebih kejam," kata Hakim Robert Maranger kepada pemberita selepas perbicaraan itu seperti yang disiarkan media Kanada.

Menurut Maranger, tiada sebab yang yang kukuh di sebalik pembunuhan kejam ini dan paling memalukan adalah empat mangsa benar-benar tidak bersalah.

Sepanjang perbicaraan selama tiga bulan, mahkamah mendengar keterangan yang berulang-ulang bahawa ketiga-tiga beradik itu sering bertengkar dengan bapa mereka dalam banyak isu.

Salah seorang mangsa telah mempunyai teman lelaki dan mencari perlindungan di tempat perlindungan wanita, manakala seorang lagi telah dihantar pulang dari sekolah kerana memakai pakaian yang terlalu mendedahkan.

Mereka dianggap mencemarkan maruah keluarga kerana tidak mempedulikan disiplin keluarga tentang pakaian, temu janji dengan lelaki, bersosial dan menggunakan Internet.

Tiga saudara perempuan itu ditemui mati lemas dalam terusan yang berkunci bersama seorang lagi wanita itu yang ditemui pada 30 Jun 2009 di dalam sebuah kereta.

Ketiga-tiga perempuan yang berbalah dengan bapa mereka itu ialah, Zainab, 19, Sahar 17, dan Geeti, 13. - Agensi

Filem Dragon Tattoo diharam di India

AKTRES filem The Girl with The Dragon Tattoo, Rooney Mara (kiri) bercakap dengan Fincher (kanan) pada majlis tayangan perdana filem berkenaan di Tokyo, Jepun 


MUMBAI - Studio Sony Pictures tidak akan menayangkan filem blockbuster, The Girl with The Dragon Tattoo di India selepas badan tapisan filem tempatan mahu beberapa adegan menampakkan punggung dalam filem berkenaan dikaburkan.

Filem Hollywood itu mengisahkan usaha seorang wartawan, lakonan Daniel Craig, mencari seorang wanita yang hilang selama 40 tahun.

Ia dijadual ditayangkan di India pada 10 Februari ini tetapi berdepan halangan Lembaga Pusat Persijilan Filem India (CBFC).

"Babak dedah punggung dan payu dara tidak dibenarkan di India," kata pegawai CBFC," J.P. Singh.

"Kami tidak bersetuju dengan beberapa adegan dalam filem The Girl with The Dragon Tattoo dan mahu adegan terbabit dikaburkan," tambahnya.

Sony Pictures di India dalam satu kenyataan yang dihantar kepada agensi berita AFP semalam menyatakan, pihaknya tidak akan bertolak ansur berhubung kandungan filem itu yang setakat ini memperoleh kutipan tiket AS$185 juta (RM565 juta) di seluruh dunia.

"Badan penapisan ini mendapati filem berkenaan tidak sesuai untuk ditayangkan kepada umum dalam bentuk asalnya," kata CBFC dalam satu kenyataannya.

Filem berkenaan diarahkan oleh David Fincher, pengarah Hollywood yang pernah mengarahkan beberapa filem pecah panggung seperti Fight Club dan The Social Network.

Ia diadaptasi daripada siri buku po pular nukilan penulis Sweden, mendiang Stieg Larsson.

Lebih 1,700 filem asing ditayangkan di India setiap tahun selepas mendapat kelulusan badan penapisan negara itu. - AFP



Monday, January 30, 2012

Ekspo tatu di Colombia

Gambar menunjukkan cangkung pada dada seorang lelaki yang 
digunakan untuk menggantung dirinya.

CARACAS - Lebih 200 artis tatu dari beberapa buah negara seperti Venezuela, Argentina dan Mexico mengambil bahagian dalam Ekspo Tatu di sini kelmarin.

Pertunjukan menggantung diri dengan menggunakan cangkuk pada bahu juga diadakan semasa ekspo itu berlangsung, lapor agensi berita AFP semalam.

Antara peserta terkenal yang memiliki tatu unik pada muka mereka yang mengambil bahagian dalam ekspo itu ialah Mary Jose Cristerna yang lebih dikenali sebagai wanita puntianak dari Mexico.

Salah seorang peserta ekspo tatu Victor Peralta

Peserta lain yang mengambil bahagian ialah Victor Peralta dan Gabriela Peralta dari Argentina, Emilio Gonzalez, Constantino Quintero serta Juaquin De Lima dari Venezuela - Agensi


Pameran festival keranda bentuk unik

keranda berbentuk kasut balet

LONDON - Satu pameran tentang pelbagai bentuk keranda unik bagi memenuhi permintaan orang ramai apabila mereka meninggal dunia diadakan di London.

Pelbagai bentuk keranda seperti kapal terbang, gerabak kereta api lama, biola dan singa dipamerkan yang dihasilkan oleh pembuat keranda Crazy Coffins yang beribu pejabat di Nottingham, Britain.

"Saya tidak berfikir bahawa tiada benda yang kami tidak boleh lakukan," kata Pengarah Urusan Crazy Coffins, David Crampton.

"Para pelanggan merupakan pereka, kami hanya membuat apa yang mereka mahu.
"Kami menyatakan kepada mereka (para pelanggan), terdapat satu pilihan terakhir," katanya.

Firmanya itu membuat keranda dalam pelbagai bentuk seperti bot Viking, kereta Rolls-Royce, papan luncur dan layang-layang. - AFP

Monday, January 23, 2012

Gadis Islam pertama model Lancome

Hana ben Abdesslem
TUNIS: Seorang gadis dari Tunisia menjadi model wanita Islam pertama menghiasi kosmetik wajah Lancome, lapor akhbar United Kingdom, Daily Mail.

Hanaa Ben Abdesslem akan muncul dalam kempen baru syarikat kosmetik itu untuk bedak asas Teint Idole Ultra 24h.

Model berusia 22 tahun itu membuat kemunculan di atas pentas peragaan tahun lalu dan sejak itu menjadi model untuk Ralph Lauren, Oscar de la Renta dan Givenchy, memberitahu majalah New York.

“Menjadi model boleh jadi satu pilihan kerjaya juga. Saya bercadang untuk menukar salah faham ini dalam budaya saya. Saya bertemu seorang wanita Arab, Sophie Galal, yang berkongsi pandangan dan idea saya bagi menukar dan mendedahkan cabaran sebenar kerjaya model untuk dunia Arab.

“Beliau tidak lama kemudian menjadi pengurus saya dan memperkenalkan saya kepada IMG,” katanya.

Ketika Hanaa berharap untuk mengubah keadaan, dia masih berbangga dengan asal usulnya.

Dalam satu temuramah, dia berkata: “Negara saya kaya dalam sejarah dan tradisi. Ia adalah budaya yang dipengaruhi dan dibentuk hasil kejayaan ketamadunan yang termasuk masyarakat Berber, Phoenician, Roman, Fatimid, Arab dan Uthmaniyah.” saya membesar dikelilingi semua pengaruh. Saya berbangga menjadi sebahagian budaya itu.”

Daily Mail melaporkan bahawa langkah Lancome memperkenalkan seorang model Afrika Utara adalah sebahagian aliran lebih besar industri fesyen untuk memupuk kepelbagaian dalam bidang itu.

“Warisan ideal saya di Ford akan membuka idea mengenai kecantikan, bukan hanya klasik namun global,” kata ketua jabatan wanita Ford Paul Rowland, kepada akhbar New York Times.

“Saya mahu mencari gadis di Mesir atau Sri Lanka atau India, semua tempat di mana masyarakat tidak pandang.” –agensi


Usaha menyelamat kapal mewah diteruskan

KEDUDUKAN kapal pesiaran Costa Concordia yang terbalik di Pulau Giglio, Itali.

PULAU GIGLIO, Itali - Para penyelamat semalam menyambung semula usaha untuk mencari mangsa-mangsa yang terselamat di sebuah kapal pesiaran yang karam di sini.

Beberapa pegawai perlindungan awam menyatakan, para penyelam tidak akan menyelam di bahagian yang tenggelam.

Kapal itu, Costa Concordia terbalik dekat dengan pelabuhan di pulau ini pada 13 Januari lalu.

Para penyelam kelmarin menarik mayat seorang wanita dari koridor dekat ruang perpindahan penumpang dilakukan semasa langkah-langkah penyelamat dibuat.

Jumlah kematian kini 12 orang manakala 20 orang lagi masih hilang.

Ketika kejadian, kapal itu membawa lebih 4,000 orang penumpang dan melanggar batu menyebabkan ia senget dan terbalik.

Setakat ini, kapten kapal itu menjalani tahanan di rumah dan berdepan dengan dakwaan yang melibatkan kapal tersebut karam.

Sementara itu, seorang Ketua Perlindungan Awam, Franco Gabrielli menyatakan, terdapat para penumpang yang tidak berdaftar di atas kapal berkenaan.

Menurutnya, beberapa saudara-mara seorang wanita Hungary telah memberitahu pihak berkuasa Itali bahawa dia telah membuat panggilan telefon dari atas kapal tersebut.

Gabrielli berkata, saudara-mara tersebut tidak lagi mendengar berita mengenainya selepas kapal berkenaan terbalik. - Agensi

Sri Lanka derma mata untuk dunia

SEJUMLAH pesakit yang mengalami masalah katarak mata menunggu untuk dibedah

COLOMBO - Sri Langka merupakan antara negara yang paling banyak penderma mata di dunia selepas perang saudara di negara ini berakhir.

Ia menyumbang 3,000 kornea pada setiap tahun dan menyediakan tisu untuk mata kepada 57 buah negara bagi tempoh lebih hampir setengah abad.

Persatuan Pendermaan Mata Sri Lanka memulakan promosi menderma mata sejak berdekad-dekad lamanya.

Bekalan kornea amat baik di negara ini sehingga menyebabkan kerajaan Sri Lanka menubuhkan bank mata pada tahun lalu.

Bank itu dibiayai oleh penderma dari Singapura. Hampir 900,000 orang telah menandatangani ikrar untuk menderma mata selepas mereka mati menerusi persatuan tersebut.

"Orang ramai bertanya kepada saya, bolehkah kami menderma mata kami semasa maish hidup?Disebabkan kami mempunyai dua mata, bolehkan kami menderma satu mata?" kata Pengarah Hospital Mata Kebangsaan Sri Lanka, Dr. Sisira Liyanage.

Kebanyakan penduduk Sri Lanka beragama Buddha yang percaya mendermakan mata membantu mereka dilahirkan kembali dengan menikmati hidup yang lebih baik. - Agensi

Kepala pelatih pengawal peribadi dipukul dengan botol

SEORANG jurulatih memukul kepala seorang pelatih pengawal keselamatan peribadi wanita dengan botol dalam satu latihan di Beijing, China pada 13 Januari lalu.
BEIJING - Kepala seorang pelatih wanita yang mahu menjadi pengawal keselamatan peribadi dipukul dengan botol pada satu sesi latihan di Beijing pada 13 Januari lalu.
Botol kaca itu berkecai selepas terkena botol tersebut semasa pengawal keselamatan tersebut sedang berdiri.

Dia merupakan di antara 20 wanita yang menjalani latihan selama lapan hingga 10 bulan untuk menjadi pengawal keselamatan, kebanyakannya lulusan kolej.

Latihan itu dilakukan oleh syarikat Tianjiao Special Guard/Security Consultant Ltd. Co.
Pelatih terbaik akan ditawarkan syarikat itu peluang untuk menjalani latihan di Akademi Keselamatan Antarabangsa di Israel. - Reuters

Sunday, January 15, 2012

Tiga maut kapal persiaran mewah terbalik

Kapal mewah yang terbalik
ROM - Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan empat lagi hilang semalam selepas sebuah kapal persiaran tersadai dan terbalik terbalik dekat sebuah pulau di perairan selatan Itali.

Kapal persiaran Costa Concordia sedang dalam perjalanan di sekitar Laut Mediterranean apabila ia terlanggar terumbu karang dekat Pulau Isola del Giglio, 15 kilometer ke selatan tanah besar Itali sekitar pukul 10 malam (waktu Itali) kelmarin.

Kemalangan berlaku ketika para penumpang sedang makan malam.

Di antara penumpang kapal mewah yang selamat
Menurut media tempatan, beberapa penumpang terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan diri.

Pihak berkuasa tempatan menyatakan, sebahagian daripada 3,200 penumpang dan 1,023 kru kapal sepanjang 290 meter itu dipindahkan dengan menggunakan beberapa buah bot kecemasan, helikopter dan kapal lain yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

"Berlaku senario panik seperti dalam kapal Titanic. Kapal kami melanggar kawasan berbatu dekat Pulau Isola del Giglio. Saya tidak tahu bagaimana perkara ini boleh berlaku. Kapten kapal ini tentunya sudah gila," kata seorang penumpang, Mara Parmegiani.

"Kami amat takut dan kesejukan kerana kemalangan berlaku semasa kami sedang makan malam. Kami tiada masa untuk membuat persediaan. Mereka (pasukan penyelamat) ada memberi selimut tetapi bilangannya tidak mencukupi," tambah Parmegiani

Pelajar cemerlang dapat rumah

Samantha Garvey
BRENTWOOD, Amerika Syarikat (AS) - Sikap tekun dan tidak berputus asa dalam menimba ilmu akhirnya membuahkan hasil kepada seorang pelajar perempuan tidak berumah, Samantha Garvey.

Baru-baru ini, Garvey, 17 dan keluarganya ditawarkan menduduki sebuah kediaman tiga bilik oleh pentadbiran daerah ini, negeri New York pada kadar sewa yang amat rendah.
Tawaran tersebut dibuat selepas dia berjaya mara ke peringkat separuh akhir pertandingan sains berprestij Intel di AS.

Sebelum ini, mereka tinggal di sebuah pusat perlindungan untuk golongan tidak berumah di sini. Selain kediaman, pelbagai pihak turut menghulurkan derma bagi meringankan beban keluarga miskin berkenaan.

"Ini adalah perkara paling hebat yang pernah berlaku kepada diri saya," kata Garvey dalam satu sidang media bersama ibu bapa dan dua adik- beradiknya serta beberapa ahli politik tempatan kelmarin.

"Inilah apa yang kami mahukan selama ini," tambahnya.

Dia adalah antara 300 remaja di seluruh AS yang berjaya mara ke separuh akhir pertandingan sains berkenaan pada minggu ini. Finalis pertandingan tersebut pula akan diumumkan pada akhir bulan ini.


Garvey yang merupakan pelajar senior Sekolah Tinggi Brentwood bercita-cita untuk menjadi seorang ahli sains marin. Dia sudah memohon untuk memasuki Universiti Yale dan Brown untuk meneruskan pelajaran ke peringkat ijazah.


Gadis berkenaan diusir bersama keluarganya dari kediaman mereka menjelang tahun baharu selepas bapanya tidak mampu membayar ansuran bulanan rumah mereka.


Bapa Garvey, Leo bekerja sebagai pemandu teksi manakala ibunya, Olga tidak dapat bekerja selepas terbabit dalam kemalangan kereta pada Februari lalu.

Jadi warganegara AS pada usia 111 tahun

Warina Zaya Boshou
STERLING HEIGHTS, Amerika Syarikat (AS) - Seorang wanita berketurunan Iraq mendapat kewarganegaraan AS pada usia 111 tahun, lapor sebuah stesen radio tempatan.
Warina Zaya Bashou mengangkat sumpah sebagai warga negara AS di kediamannya di sini, negeri Michigan kelmarin.

Stesen radio WWJ-AM melaporkan, Warina dikelilingi sekitar 12 saudara- mara dan rakannya semasa majlis angkat sumpah berkenaan berlangsung.

Menurut jurucakap Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen AS, Marilu Cabrera, Warina yang dilahirkan pada tahun 1900 merupakan individu kedua tertua di AS yang mengangkat sumpah kewarganegaraan.

Warga emas berkenaan memberitahu, dia mengamalkan petua meminum teh hijau agar dirinya kekal sihat. - AP

Kereta Ferrari RM2 juta remuk

Ferrari yang remuk
SEPANG - Sebuah kereta Ferrari F430 yang sedang dipandu uji terbabas mengakibatkan kenderaan bernilai hampir RM2 juta itu remuk di Lebuh Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, kereta mewah yang boleh memecut sehingga kelajuan 315 kilometer sejam tersebut dinaiki oleh dua lelaki berusia lingkungan 30-an dari terminal KLIA menghala ke arah plaza tol KLIA.

Difahamkan, ketika kejadian, kenderaan itu menjalani proses pandu uji sebelum diserahkan kepada pelanggannya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Supritendan Imran Abdul Rahman berkata, setibanya di Kilometer 6.3 berhampiran tol tersebut, kereta yang dipercayai dipandu laju itu gagal dikawal lalu terbabas ke kiri jalan.

"Kereta itu terlanggar penghadang jalan serta sebatang tiang lampu sebelum terhumban kira-kira 20 meter dari bahu jalan.

"Pemandu dan penumpang kereta tersebut bagaimanapun terselamat dan hanya mengalami kecederaan ringan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Tuesday, January 10, 2012

Penumpang separuh bogel serbu kereta api

penumpang separuh bogel
LONDON: Sekumpulan penumpang nakal memeranjatkan penumpang kereta api di bandar raya ini semalam apabila mereka menanggalkan seluar masing-masing dalam satu gurauan yang diadakan di seluruh dunia.
Beratus-ratus penumpang separuh bogel memenuhi kereta api bawah tanah London untuk acara tahunan Naiki Kereta Api Tanpa Seluar.

Ia adalah sebahagian daripada Hari Tanpa Seluar yang diadakan di luar negara apabila kereta api bawah tanah diambil alih oleh penumpang separuh bogel.
Acara itu dianjurkan oleh kumpulan Improv Everywhere dan bermula dengan Naiki Kereta Api Tanpa Seluar di New York 11 tahun lalu.

Ia kini merebak ke 60 bandar di 27 negara, termasukWashington, Mexico City, Toronto, Madrid dan Tel Aviv.
mprov Everywhere menggunakan Facebook untuk mempelawa orang ramai mengambil bahagian dan lebih 16,000 orang mendaftar untuk menyertainya di seluruh dunia.
Kumpulan itu kemudian melakukan aksi ala-rusuhan di seluruh dunia, memeranjatkan orang sekeliling apabila mereka menanggalkan seluar dalam kenderaan awam.

Penganjur, Dan Becherano berkata: “Matlamatnya ialah untuk berseronok dan menghiburkan orang ramai. - Reuters


Chef selebriti mengaku mencuri

Antony Worall Thompson
LONDON: Chef selebriti, Antony Worall Thompson semalam memohon maaf kerana ‘tindakan bodoh dan tidak bertanggungjawab’ yang mengecewakan keluarganya selepas ditangkap mencuri keju dan wain dari sebuah pasar raya Tesco.
Bintang rancangan Ready Steady Cook, berusia 60 tahun itu ditangkap mencuri lima kali dalam masa 16 hari di pasar raya berkenaan di Henley-on-Thames, Oxfordshire. 
Worrall Thompson berkata, dia ‘kecewa’ dan akan berusaha mendapatkan rawatan yang amat diperlukannya ekoran perbuatannya itu. 

Dia juga secara terbuka memohon maaf kepada Tesco dan kakitangannya di cawangan itu.
Perbuatan Worrall Thompson dirakam kamera dalam pasar raya itu.

Dia gagal mengimbas kod bar beberapa barangan dan memasukkannya ke dalam beg sebelum cuba keluar dari pasar raya berkenaan.
 

Pasukan keselamatan kemudian menahan bapa empat anak itu dan memeriksa begnya sebelum memanggil polis.
 

“Saya memohon maaf kerana perbuatan bodoh dan tidak bertanggungjawab saya baru-baru ini.
 

“Saya sudah pasti kecewa kerana memalukan keluarga dan rakan. Saya akan mendapatkan rawatan yang amat saya perlukan.
 

“Saya bukan orang pertama dan sudah pasti bukan orang yang terakhir yang melakukan perbuatan seperti itu.
 

“Sudah tentu saya juga memohon maaf secara ikhlas kepada Tesco dan kakitangannya di cawangan Henley.
 

“Ramai di kalangan mereka yang saya kenal sejak beberapa tahun lalu kerana saya sudah mempunyai hubungan kerja dengan pasar raya itu sejak sekian lama.
 

“Sekali lagi saya memohon maaf dan berharap akan mengubah tabiat buruk saya pada masa depan,” kata Worall Thompson.
 


Gara-gara hutang

Lelaki terdesak bersama tebusannya

BANGKOK: Seorang lelaki mengancam untuk membunuh tebusannya dalam dalam satu kejadian yang berkait dengan kegagalan mangsa membayar hutang.
Kerana kecewa, lelaki bernama Peak itu menahan tebusan terbabit dan meletakkan parang pada lehernya di pinggir Bangkok.

Peak yang menghidap sakit buah pinggang, begitu terdesak untuk mendapatkan wang bagi membayar rawatan atau untuk membeli ubat apabila dia melakukan tindakan drastik itu.
Polis menghabiskan masa 30 minit memujuk lelaki berkenaan yang mendakwa tebusannya tidak membayar wang yang dipinjamkannya dan dia memerlukan wang itu untuk rawatan.

Selepas berjaya mententeramkannya, polis membawa Peak ke balai polis untuk mendakwanya.

Tebusan itu dibebaskan tanpa mengalami kecederaan. - Bangkok Post