Total Pageviews

Monday, February 20, 2012

Api mengalir di air terjun

IMEJ dekat air terjun kelihatan seperti api sedang mengalir di Taman Perkhidmatan Negara Yosemite.

YOSEMITE, Amerika Syarikat (AS) - Sekumpulan jurugambar akan berkunjung ke Taman Perkhidmatan Negara Yosemite di sini pada setiap pertengahan Februari.

Mereka akan merakamkan fenomena alam semula jadi yang akan menunjukkan seolah-olah api mengalir dari Glasier Point.

Fenomena itu terjadi apabila Bumi dan matahari berada dalan keadaan sejajar pada waktu matahari terbenam.

Pada waktu tersebut, cahaya matahari akan menyinari salah satu air terjun di taman ini.
Air terjun itu kemudian akan kelihatan seperti lahar yang mengalir. - AP

Terperangkap dalam kereta selama dua bulan

SEORANG lelaki yang ditemui kelmarin terperangkap di dalam kereta ini yang dipenuhi dengan salji tebal di sebatang jalan di sebuah hutan tidak jauh dari bandar Umea, Sweden.

STOCKHOLM, Sweden – Seorang lelaki Sweden hidup dalam sebuah kereta yang ditimbus salji di sebatang jalan di dalam hutan selama dua bulan tanpa makan, kata polis dan media kelmarin.

Lelaki berusia 45 tahun dari selatan Sweden itu ditemui pada Jumaat lalu dan dia kelihatan sangat kurus dan terlalu lemah untuk bercakap beberapa patah perkataan.
Dia ditemui dalam kereta tidak jauh dari bandar Umea di utara Sweden.

Lelaki itu ditemui oleh beberapa orang yang menaiki skuter salji yang pada mulanya mereka menganggap mereka menemui sebuah bangkai kereta.

Namun, mereka menggali salji ke tingkap kereta tersebut dan melihat terdapat pergerakan di dalam kenderaan itu.

Lelaki itu duduk di tempat duduk belakang di dalam beg tidur dan dia menyatakan telah berada di dalam kereta tersebut sejak 19 Disember tahun lalu.

Seorang pegawai polis, Ebbe Nyberg berkata, pihaknya tidak meragui bahawa lelaki tersebut telah terperangkap di dalam kereta bagi tempoh yang lama.
Hospital Universiti Umea iaitu lokasi lelaki tersebut dirawat selepas diselamatkan oleh polis dan pasukan penyelamat berkata dalam satu kenyataan bahawa dia kini beransur baik.

Doktor-doktor di hospital itu berkata, manusia pada kebiasaannya mampu hidup selama kira-kira empat minggu tanpa makanan.
Menurut Dr. Stefan Branth kepada akhbar Vasterbottens-Kuriren, selain makan salji, lelaki itu mungkin hidup disebabkan dia tidak aktif.

“Seperti seekor beruang yang hibernasi. Manusia bolah melakukannya,” katanya.
Hibernasi merujuk kepada haiwan yang menghabiskan musim sejuk dalam keadaan tidur nyenyak.

“Dia (lelaki itu) mungkin mempunyai suhu badan kira-kira 31 darjah Celsius yang disesuaikanmengikut tubuh badannya.
“Disebabkan suhu yang kecil, tiada banyak tenaga yang digunakan,” kata Dr. Branth.
Polis berkata, kenapa lelaki tersebut berada di dalam kereta di hutan tersebut masih belum diketahui.
– Reuters

Thursday, February 16, 2012

Dua buaya gergasi ditangkap di Filipina

GAMBAR menunjukkan seekor buaya jantan gergasi dan seekor buaya betina dilihat oleh para pekerja sebuah ladang di bandar Palawan, Filipina kelmarin.
BANDAR PALAWAN, Filipina - Beberapa pekerja memindahkan dua ekor buaya gergasi di bandar ini kelmarin yang ditangkap pada Selasa lalu di bandar Rio Tuba Bataraza ekoran terdapat laporan bahawa haiwan itu melakukan serangan ke atas manusia.

Menurut agensi berita Reuters, haiwan itu dipindahkan ke sebuah ladang buaya di sini.
Beberapa pegawai tempatan di ladang haiwan itu berkata, buaya jantan yang ditangkap itu sepanjang 4.87 meter dan akan diberi nama Valentino.

Buaya betina yang ditangkap itu pula sepanjang 3.35 meter.
Nama itu diberikan kerana haiwan tersebut ditangkap pada Hari Kekasih.

Pada September tahun lalu, penduduk kampung di wilayah Agusan del Sur, Filipina berjaya menangkap seekor buaya gergasi sepanjang 6.4 meter yang dianggap terbesar yang pernah ditangkap hidup-hidup di dunia. - Agensi

Bekas penjual mesin taip beli 230 pesawat Boeing

SEBUAH pesawat Boeing 747-400 milik Lion Air berada di sebuah landasan di Lapangan terbang Sukarno-Hatta di Tangerang semalam. Gambar kecil Rusdi Kirana.
SINGAPURA - Seorang bekas penjual mesin taip, Rusdi Kirana mencipta kejutan apabila beliau membeli lebih 230 pesawat Boeing dalam satu urus niaga yang dimuktamadkan pada minggu ini.

Beliau yang kini bergelar Ketua Eksekutif Lion Air mengasaskan syarikat penerbangan domestik dan tambang murah terbesar di Indonesia bersama abangnya, Kusnan lebih sedekad lalu.

Selain potongan rambut pendek, misai penuh dan senyuman keanak-anakan, tidak banyak yang diketahui tentang usahawan berusia 49 tahun dari Indonesia itu.

Namun, nama Rusdi menjadi sebutan media pada Pameran Udara Singapura kelmarin.
Pada pameran itu, beliau memuktamadkan pembelian 230 buah pesawat Boeing pada harga keseluruhan AS$22 bilion (RM66.8 bilion).

"Orang ramai perlu faham bahawa mereka tidak patut memandang rendah terhadap seseorang dari negara Dunia Ketiga. Hanya kerana kami usahawan Dunia Ketiga, ia tidak bermakna kami tidak mampu membuat pembelian besar seperti ini," kata Rusdi.

Urus niaga tersebut turut melibatkan sebuah model baharu Boeing yang dijadualkan memulakan perkhidmatan pada 2017.

Menurutnya, pembiayaan bagi pembelian tersebut disokong oleh agensi kredit eksport Amerika Syarikat, bank ExIm.

Selain pembelian mega tersebut, Rusdi juga merupakan antara segelintir usahawan Dunia Ketiga yang berpeluang menemui Presiden AS, Barack Obama. - Agensi

Dilema nenek si gadis sunti 15 tahun

PUAN menunjukkan MyKad yang menyatakan dia dilahirkan pada tahun 1996 atau berusia 15 tahun sedangkan cucunya, Siti Noor Atikah Mat Yusop pula berusia 21 tahun di rumah mereka di Sanglang, Perlis semalam.
KANGAR – Seorang warga tua dari Kampung Padang Keria, Simpang Empat di sini yang memiliki 47 orang cicit kini tidak sanggup lagi menghadapi dilema usia beliau hanya 15 tahun 10 bulan berdasarkan catatan dalam MyKad.

Puan Ahmad yang mendakwa usianya kini melebihi 90 tahun berkata, masalah itu berlaku selepas MyKad yang diperolehnya pada tahun 1996 tertera dengan nombor 960412-02-0558*.

Dia juga bingung melihatkan wujud tanda * pada penghujung nombor MyKad itu.
Puan kini kecewa kerana mendakwa masalah itu menyebabkan dia terlepas peluang mendapat banyak kemudahan khusus untuk golongan warga emas selain gagal memohon wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Saya sudah rujuk masalah nombor MyKad ini kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perlis pada tahun lalu tapi mereka minta saya terus guna kad yang sama,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Puan yang kini mempunyai empat orang anak, 19 cucu dan 47 cicit, dilahirkan di Tasik Melati, Padang Besar pada tahun 1920-an.

Katanya, masalah itu berlaku selepas dia memohon kad pengenalan baharu di JPN Kuala Nerang, Kedah, beberapa tahun lalu.